BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Hizbullah bidas majalah Jerman

BEIRUT 24 Mei – Pergerakan Hizbullah di Lebanon hari ini membidas sebuah majalah Jerman berikutan laporannya yang mendakwa sebuah suruhanjaya siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) percaya Hizbullah menjadi dalang di sebalik pembunuhan bekas Perdana Menteri, Rafiq Hariri pada 2005.

Majalah Der Spiegel semalam melaporkan suruhanjaya PBB yang menyiasat pembunuhan Hariri menemui bukti baru yang menunjukkan pasukan khas Hizbullah ‘merancang dan melaksanakan’ serangan dengan meletupkan bom kereta yang membunuh Hariri dan 22 orang lain.

“Ini cerita rekaan semata-mata bertujuan mempengaruhi kempen pilihan raya dan mengalihkan perhatian daripada laporan mengenai pembongkaran rangkaian pengintip yang bekerja untuk Israel,” kata Hizbullah dalam kenyataannya.

Laporan Der Spiegel itu disiarkan dua minggu sebelum pilihan raya umum Lebanon pada 7 Jun ini apabila blok majoriti Parlimen yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) bakal ditentang oleh perikatan yang diketuai oleh Hizbullah dengan sokongan Syria dan Iran.

Hizbullah menyatakan bahawa dakwaan Der Spiegel menjejaskan kredibiliti Tribunal Khas bagi Lebanon, dan meminta mahkamah di The Hague bertindak mendedahkan dalang di sebalik ‘pembohongan’ tersebut. – AFP

sumber:Utusan Malaysia